banner

Tuesday, August 02, 2011

AL-FATIHAH.. HASNAH HARON MENINGGAL DUNIA PAGI TD..



Penyanyi popular lewat tahun 60-an, Hasnah Haron, 64, meninggal dunia
akibat penyakit kanser pangkal rahim di Hospital Sultan Ismail,
di sini kira-kira pukul 8 pagi tadi.
Jenazah Hasnah yang popular dengan lagu-lagu seperti Bersedih,
Sabar Menanti dan Siti Zubaidah akan dikebumikan
di Tanah Perkuburan Islam Mahmoodiah, di sini selepas Solat Asar.



AL FATIHAH

BELASUNGKAWA HASNAH HARON

Hasnah Haron merupakan salah seorang penyanyi pujaan ramai
era 60-an 70-an yang sering mendendangkan lagu-lagu di radio Malaysia.
Ketika itu pengaruh kumpulan The Beatles dari England
telah mewujudkan irama pop yeh-yeh dari 1965 hingga 1971.
Istilah ""pop yeh-yeh"" telah diambil dari judul lagu popular
The Beatles, (She Loves You - Yeh, Yeh, Yeh).
Penyanyi pada zaman 1960-an biasanya diiringi oleh kumpulan kugiran.
Hasnah Haron sering membuat persembahan dengan diiringi
oleh kumpulan Les Kafilas.
Beliau mencipta nama dengan lagu Bersedih.
Hasnah Haron turut terbabit bagi menjayakan Konsert Pop Yeh Yeh
Suatu Evolusi 2007, di Stadium Malawati dan julung kali
diadakan oleh Global Ads Workstation Sdn. Bhd.



Lagu-lagu

Bersedih

Sabar Menanti

Aliran Usia

Jauh Dariki

Bintang Pujaan

Mengharap Kasih

Ayah Bonda

Kata Terpendam

Menghibur hati penghibur



MENGHIBURKAN orang dengan alunan suaranya yang merdu
dilakukan penyanyi Hasnah Haron sejak usia belasan tahun lagi.
Bersama kumpulannya, Les Kafilas, Hasnah yang mula menyanyi
di majlis kenduri kahwin dan keramaian kemudian
merakamkan album memuatkan lagu
Bersedih dan Sabar Menanti pada 1969.
Lagu Bersedih juga menaikkan namanya
sebaris dengan penyanyi seangkatan,
Allahyarham Datin Rafeah Buang dan Sanisah Huri.
Malah, ketika bersama suami, M Y Eunos mereka dikenali sebagai
Titiek Sandhora dan Mohsin dan sering menyanyikan lagu popular
pasangan dari seberang itu, Dunia Belum Kiamat.
Kini, semua itu tinggal kena­ngan kerana masalah kesihatan dihidapi.
Januari 1999 mengubah seluruh hidupnya apabila
Hasnah disahkan menghidap kanser pangkal rahim tahap dua
dan menjalani rawatan di Hospital Sultan Ismail, Johor Bharu.
Selain kimoterapi dan radioterapi, Hasnah juga mencuba rawatan tradisional.
Bukan saja perlu melawan penyakit paling ditakuti dan belum ada penawarnya itu,
malah Hasnah berhadapan pula dengan masalah buah pinggang
hingga dinasihatkan doktor supaya membuang rahim dan buah pinggangnya.
Kini, dalam usia 64 tahun, keadaan fizikal penyanyi kelahiran
Kampung Melayu, Singapura pada 9 November 1946 itu
sangat berbeza kerana badannya kurus disebabkan
kurang selera makan dan pergerakan juga terbatas dan cepat penat.
Katanya, sebelum sakit dulu, ada juga undangan menyanyi
dijayakan jika lokasinya sesuai, tetapi kini, dia banyak menghabiskan masa
di rumah bersama anak dan cucu serta berkumpul
dengan kawan-kawan di surau mengaji dan mendengar ceramah agama.



“Mungkin Allah mahu saya berehat menyanyi hingga diberikan penyakit,”
katanya ketika ditemui, kelmarin.

Hasnah yang tinggal di Bandar Baru Uda, Johor Bahru
dibawa anak sulungnya, Haslinda Mohd Eunos, 39, ke Kuala Lumpur
pada Isnin lalu untuk mendapatkan rawatan cara Islam
di Pusat Rawatan Islam Al-Hidayah, Gombak.
Kawan baik Hasnah, Rubiah Suparman memujuknya
mencuba rawatan alternatif cara Islam selain rawatan moden.
Kata Haslinda, pelbagai usaha dilakukan sebagai pilihan
kerana doktor mahu menjalankan pembedahan buah pinggang Julai ini
dan usul kawan baik ibunya itu disambut dengan penuh kesyukuran.



“Ternyata mak mahu datang walaupun terpaksa turun ke Kuala Lumpur
kerana minat dengan lakonan Ashraf. Kami sampai pagi Isnin
dan terus ke pusat rawatan itu pada tengah hari."



“Kami dimaklumkan ada dua benda dalam badan mak.
Pertama, kanser pangkal rahim tahap tiga dan sudah merebak ke paru-paru
dan kedua, ada sihir dengan kehadiran 30 jin dalam badannya."



“Ibu dibekalkan surah Al-Mukminin untuk diamalkan
setiap kali selepas solat Maghrib dan Isyak dan surah Hud
selepas solat Subuh selama enam ming­gu.
Rawatan susulan selepas ini pada 30 Jun nanti dan
kami diberi pilihan untuk melakukannya di Singapura ATAU
di klinik mereka di Woodlands,” katanya.



Kata Haslinda, apa yang mampu dilakukan kini ialah
membahagiakan dan menggembirakan hati ibu mereka.
Dia bersama empat anak-anaknya berpindah ke rumah ibunya
di Bandar Baru Uda dan tinggal bersama tiga lagi adik-adiknya,
Sharifah Seha Syed Murshed, Syed Mohd Hyekal dan Sharifah Zakiah.
Sementara adik lelakinya, Mohd Luthfi Mohd Eunos yang tinggal di Larkin,
sering datang menjenguk ibunya terutama waktu pagi
sebelum memulakan kerja.
Haslinda dan Luthfi adalah anak Hasnah bersama suami pertama
manakala Seha, Hyekal dan Zakiah anak bersama suami kedua.
Kedua-duanya kini sudah tiada apabila Syed Murshed meninggal dunia
pada 2003 manakala Mohd Eunos pada 2010.



“Mak tidak ada selera makan dan saya selalu bertanya
teringin makan apa dan cuba usahakan masak atau belikan.
Saya juga risau melihat mak hanya baring saja dan malas
hendak keluar rumah dan cuba galakkan dia
melakukan aktiviti ringan di sekitar rumah."



“Saya juga berusaha meng­gembirakan mak dengan
membawanya berjumpa kawan-kawan. Antara kawan baiknya yang sering
berkunjung ke rumah ialah mak cik Rubiah yang
akan singgah apabila pulang ke Singapura."



“Kesempatan datang ke Kuala Lumpur saya ambil peluang
membawanya jalan-jalan dan bertemu saudara dan kawan-kawannya.
Hari ini saya terharu melihat ibu gembira apabila bertemu mereka,” katanya.



Antara rakan yang datang dalam pertemuan di Restoran Puteri,
Sungai Penchala tengah hari Selasa lalu ialah
Datuk A Rahman Hassan dan isteri, Datin Azizah Mohamad,
Datuk Jeffrydin dan isteri serta Datuk Yusni Hamid.
Pada sebelah pagi, Hasnah berjumpa dengan saudaranya,
Siti Hawa Majid dan sebelah petang pula bertemu dengan Bahyah Mahmud (Bam).
Walaupun menghabiskan sebahagian hidupnya dengan menyanyi,
Hasnah tidak membenarkan anak-anak mengikut jejaknya menceburi dunia seni.
Haslinda masih ingat lagi, ketika mereka kecil ibunya terpaksa
membawa dia dan adiknya ke tempatnya menyanyi.
Bagaimanapun, mereka diletakkan dalam satu bilik dan
tidak dibenarkan keluar sehingga selesai ibunya bekerja.



“Dulu saya tidak suka apabila orang kaitkan saya dengan Hasnah Haron,
tetapi kini saya bangga menjadi anaknya. Bukan saja mempunyai suara merdu,
apa yang paling penting, mak ada prinsip yang dipertahankannya
walaupun keluar menyanyi merata tempat."



“Sejak kecil lagi mak selalu tekankan kepada anak-anak supaya
menjaga diri dan ja­ngan memalukan keluarga. Itu juga yang dilakukan mak.
Saya juga tahu cabaran besar yang harus dilalui mak apabila
menjadikan nyanyian sebagai kerjayanya. Kini menjadi tang­gungjawab saya
menjaga mak dan saya akan cuba mendapat­kan rawatan terbaik buat­nya."



“Saya harap ada peminat atau kawan-kawan yang sudi menziarah
dan berbual dengannya menghiburkan hati mak.
Kalau dulu dia menghiburkan orang, kini hatinya perlu dihiburkan.
Tapi keba­nyakan yang datang lebih kepada ingin
menjual produk mereka hingga membuatkan kami serba salah,” katanya.

No comments: